Skip Ribbon Commands
Skip to main content

CAD News

Manage PermissionsManage Permissions

8 Aug 19 - Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam menyertai Ketua-Ketua Agensi Persaingan di dalam acara Commissioners’ Retreat dan 18th Session of the Intergovernmental Experts on Competition Policy and Law

Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam menyertai ketua-ketua agensi persaingan di peringkat antarabangsa di dalam acara AANZFTA Commissioners' Retreat di Brisbane, Australia pada 2 hingga 4 Julai 2019 dan 18th Session of the Intergovernmental Experts on Competition Policy and Law di Geneva, Switzerland pada 10 hingga 12 Julai 2019.

Rombongan Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam ke acara-acara berikut diketuai oleh Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadi.

Acara ASEAN-Australia-New Zealand Free Trade (AANZFTA) Commissioners' Retreat mengumpulkan ahli-ahli suruhanjaya persaingan dan ketua-ketua agensi persaingan dari 10 Ahli-Ahli Negera ASEAN, Australia dan New Zealand bagi membincangkan perkembangan perundangan dan dasar persaingan di rantau ini. Turut hadir adalah Ahli Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam, Yang Mulia Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani dan wakil daripada Sekretariat Eksekutif kepada Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam. Lebih daripada 50 orang peserta bertukar pendapat dan berkongsi amalan terbaik mengenai pelaksanaan dan penguatkuasaan perundangan persaingan dengan berkesan bagi melahirkan sebuah pasaran yang kompetitif. Acara berkenaan telah dihoskan oleh Australian Competition and Consumer Commission (ACCC) dan disokong di bawah Program AANZFTA Competition Law Implementation.

Acara 18th Session of the Intergovernmental Experts (IGE) on Competition Policy and Law (CPL) yang berlangsung selama 3 hari telah membincangkan mengenai cara-cara bagi meningkatkan kerjasama dalam pelaksanaan perundangan dan dasar persaingan di peringkat antarabangsa. Topik yang dibincangkan termasuk isu persaingan dalam ekonomi digital dan sektor kesihatan, serta kerjasama antarabangsa dalam mencegah kelakuan anti-persaingan rentas sempadan. Acara 18th Session of the IGE on CPL telah dihadir oleh lebih daripada 100 orang perwakilan dari lebih 50 buah negara ahli-ahli United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), pertubuhan-pertubuhan antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, para akademik, dan sektor swasta. Acara berkenaan telah dikendalikan oleh pihak Cawangan Dasar Persaingan dan Pengguna di UNCTAD.

Penglibatan Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam di dalam acara-acara persaingan berkenaan mencerminkan komitmen ke arah mewujudkan pembangunan ekonomi yang adil dan persekitaran perniagaan yang berdaya tahan melalui pelaksanaan dan penguatkuasaan Perintah Persaingan 2015 yang efektif.

Objektif Perintah Persaingan 2015 adalah bagi menggalakkan kecekapan pasaran dan kebajikan pengguna di landskap ekonomi Negara Brunei Darussalam melalui larangan amalan anti-persaingan iaitu Perjanjian Anti-Persaingan, Penyalahgunaan Kedudukan Dominan dan Penggabungan Anti-Persaingan. Perintah ini akan dikuatkuasakan secara berfasa bermula dengan penguatkuasaan larangan Perjanjian Anti-Persaingan pada Januari 2020 sepertimana yang telah diumumkan secara rasmi pada awal Jun 2019.

Para peniaga adalah dinasihatkan untuk melaksanakan penilaian dan rebiu terhadap amalan perniagaan masing-masing yang mempunyai potensi untuk melanggar Perintah Persaingan 2015, dan seterusnya untuk membuat sebarang pembetulan di dalam tempoh "grace period" yang telah bermula pada 1 Jun 2019, bagi memastikan pematuhan terhadap Perintah berkenaan sebelum ia mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2020.

Maklumat lanjut mengenai Perintah Persaingan 2015 boleh diperolehi melalui http://www.depd.gov.bn/cad/Home.aspx.





Attachments